TAN Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri pada masa ini.
Ini kerana, katanya beliau telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti.
“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya dalam perutusan khas di Putrajaya sebentar tadi.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Muhyiddin berkata beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dalam majlis menghadap di Istana Negara pagi tadi berhubung perkembangan tersebut.
Perdana Menteri berkata semalam beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong yang memaklumkan terdapat lapan Ahli Parlimen Umno menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka menarik sokongan kepadanya.
Menurutnya, di dalam warkah itu, Seri Paduka Baginda telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu:
“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”; dan
Kedua, Perkara 43 (4) iaitu:
“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
“Sehubungan itu, saya telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi hari ini.
“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti pada masa ini,” katanya. – Malaysiapost

