Zahid: Umno sudah serah SD kepada Agong, Muhyiddin hilang majoriti

0
2

UMNO telah menyerahkan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli-Ahli Parlimen Umno kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. 

Sehubungan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin sekali gus telah hilang majoriti dan keabsahan beliau selaku ketua kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan ini telah terbatal. 

Beliau berkata Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno hari ini juga sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri. 

“Muhyiddin mesti mengambil tanggunggjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dengan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKT Umno secara maya hari ini.  

Turut hadir dalam sidang media itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah. 

Namun Naib Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak kelihatan. 

Ahmad Zahid berkata Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan Umno. 

Katanya, kenyataan terbaharu Perdana Menteri hari ini tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong. 

“Malah mempersendakan baginda yang hakikatnya telah beberapa kali menitahkan Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan sebelum 1 Ogos, bukan pada September 2021 iaitu persidangan Parlimen akan datang,” katanya. 

Beliau berkata pendirian Umno itu juga adalah bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong.  

Terdahulu hari ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dari Umno mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri setelah mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. 

Tengah hari tadi, Muhyiddin menerusi kenyataan berkata proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Baginda sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.   

Perdana Menteri berkata dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit.  

Maka, kata Muhyddin, selaras titah pandangan Seri Paduka Baginda dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada September 2021.  

Usul itu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here