MAYAT dalam keadaan berulat dan berbau busuk ditemui di kawasan hutan berhampiran Puncak Jati, Bandar Baru Nilai, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 10.14 malam.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ke lokasi kejadian dan pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mangsa sudah meninggal dunia lebih seminggu.
“Keadaan mangsa sudah berulat dan berbau busuk serta identitinya masih belum dapat dikenalpasti.
“Siasatan tempat kejadian telah dibuat dengan dibantu Pasukan Forensik dan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed di talian 013-6262415 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

