MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri hari ini.
Sehubungan itu beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana saya diberikan peluang berkhidmat dan pastinya pimpinan Umno yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan.
“Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli Umno yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak dan kepada semua warga Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli,” katanya menerusi kenyataan.
Shamsul Anuar berkata, tumpuan beliau selepas ini ialah memberikan fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Lenggong dan membantu memperkuat parti dalam menghadapi situasi politik yang semakin mencabar.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya. – Malaysiapost

