Tun M mengaku buat salah hadir perhimpunan semalam, syukur negatif Covid-19

0
3

TUN Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau membuat salah semalam kerana hadir dalam perhimpunan bersama Ahli-Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka di ibu negara.

Bekas Perdana Menteri itu mengakui sukar untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) setelah hadir dalam perhimpunan tersebut.

“Soal SOP saya dapati cukup susah, saya mengaku saya sendiri buat salah… semalam saya hadir perjumpaan wakil rakyat (di Dataran Merdeka), saya fikir nak duduk dalam kereta, tak payahlah keluar, nak tunjuk saya pun sokong.

“Tapi bila dah sampai situ, orang dah berkumpul, bagi syarahan, saya pun pergi sana dan duduk dekat orang (ramai).

“Mujurlah hari ni saya test sekali lagi negatif (Covid-19), tapi itu sepatutnya saya tidak lakukan, sepatutnya perhimpunan macam itu tak perlu diadakan,” katanya dalam satu temubual disiarkan Astro Awani.

Dr Mahathir berkata sepatutnya mana-mana pihak yang ingin mengadakan perjumpaan atau protes pada masa ini, boleh melakukannya secara dalam talian seperti menggunakan aplikasi Zoom.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang amat menyusahkan jika seseorang itu dijangkiti Covid-19 sekarang kerana kesesakan di hospital yang menyebabkan mereka diminta duduk di rumah walaupun sakit.

Semalam, Dr Mahathir bersama puluhan Ahli Parlimen pembangkang termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di Dataran Merdeka bagi membantah penangguhan sidang khas Parlimen.

Usaha mereka untuk bergerak ke bangunan Parlimen dihalang oleh anggota polis sebelum bersurai secara aman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here