LIMA suspek diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan mengakibatkan seorang lelaki maut di tepi Jalan Persiaran Puteri 1, Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata kesemua lima lelaki berusia 39 hingga 48 tahun itu ditahan dalam operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di kawasan itu, pada 6.45 petang semalam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis mendapati seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek bersenjatakan pisau dan batu bata melalui kesan kecederaan fizikal pada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi memburu suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan itu.
“Sehingga jam 3.30 pagi tadi, lima lelaki tempatan ditangkap dan kesemuanya kini dibenarkan reman enam hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Kajang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi.
Terdahulu tular dua video menunjukkan seorang lelaki dipukul oleh beberapa lelaki lain dan cuba ditarik masuk ke dalam sebuah pacuan empat roda.
Bagaimanapun tiada kepastian sama ada video berkenaan adalah kes pergaduhan sama yang membawa kepada kematian mangsa. – Malaysiapost

