Memalukan kerana menafikan hak Ahli Parlimen

0
2

BEBERAPA Ahli Parlimen dari Sabah kelihatan memulakan sesi siaran secara langsung di Facebook rasmi ketika berada di perkarangan luar Bangunan Parlimen, hari ini.

Mereka membuat siaran ‘live’ itu susulan tidak dibenarkan masuk ke Bangunan Parlimen oleh polis pagi tadi.

Antara yang kelihatan mulai membuat ‘live’ termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius yang berada di luar pekarangan Parlimen.

Masing-masing kelihatan sibuk menyampaikan perkembangan terkini berhubung situasi mereka yang tidak dibenarkan masuk ke dalam Parlimen.

Menurut Foong Hin, tindakan menutup Parlimen sesuatu yang memalukan dan menidakkan hak mereka sebagai Ahli Parlimen daripada menjalankan tugas rasmi sebagai hari terakhir Sidang Khas Parlimen.

“Dengan alasan (jangkitan) Covid-19. Sekarang jalan ke Parlimen pun disekat, bagaimana barang yang saya simpan di Parlimen, bagaimana saya mahu angkat (bawa) balik, saya sudah balik ke Kota Kinabalu.

“Memalukan, hari ini dalam sejarah di mana Ahli Parlimen dinafikan hak kita untuk menjalankan tugas demi rakyat,” katanya.

Turut bersama beliau dalam sesi live itu ialah Senator Adrian Banie Lasimbang dan beberapa ahli Parlimen lain termasuk ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Sementara itu, Madius yang kini masih merakamkan sesi live beliau turut memaklumkan bahawa mereka sedang berkumpul selepas tidak dibenarkan memasuki Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here