KEDUDUKAN seorang pemimpin menjadi rebutan pada akhir zaman kerana ia merupakan peluang untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, akan tetapi mereka melupakan tanggungjawab yang akan dibawa ke hari akhirat bahawa segalanya akan dihisab kelak.
“Apabila seseorang pemimpin itu leka atau lemah imannya, maka sering kali jawatan paling tinggi itu dijadikan tempat bagi mengejar kekayaan sehingga tiada lagi kepuasan.
“Begitu juga para pemimpin yang dikelilingi oleh para pengampu yang menipu dan melalaikan bersamanya. Mereka itu dianggap sebagai kawan yang setia, tetapi sebenarnya makhluk perosak yang mengipasnya supaya terus lalai dan leka,” katanya dalam artikel Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, namun begitu fadilat yang sangat besar kepada sesiapa yang dapat menunaikan amanah kepimpinan mengikut perintah Allah SWT.
Katanya, golongan itu akan mendapat kedudukan pertama untuk berada di bawah naungan Allah SWT di Padang Mahsyar yang menakutkan kelak.
“Jika seseorang Rasul itu menjadi pemimpin, Baginda mendapat petunjuk secara langsung daripada Allah SWT melalui penurunan wahyu.
“Adapun jika seseorang manusia biasa pula menjadi pemimpin, tidak cukup dengan ilmu dan kebijaksanaan akalnya sahaja tetapi mestilah didampingi oleh penasihat daripada kalangan menteri dan para pegawai yang berakhlak mulia.
“Secara zahirnya bijak dan batinnya benar dan ikhlas. Benar percakapan dan hatinya, ikhlas pada niatnya kerana Allah SWT dan bertaqwa (takut) kepada-Nya,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, seseorang raja atau pemimpin akan menempah kejahatan, sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada Allah SWT.
“Mereka menghormati pemimpin itu hanya kerana takut kepada makhluk, bukan takut kepada Allah SWT atau hanya mengejar dunia yang merosakkan,” katanya.
Abdul Hadi berkata, Rasulullah SAW ialah manusia yang dipilih oleh Allah SWT menjadi contoh dan teladan kepada seluruh manusia dalam kehidupan dunia sehingga akhirat.
“Secara khusus, Baginda SAW menjadi teladan sebagai seorang ketua negara, sama ada seorang raja atau seorang pemimpin.
“Bukan sahaja teladan dari sudut amalannya, bahkan juga memberikan peringatan dan nasihat kepada umatnya secara lisan, kerana Baginda SAW mahukan seluruh umatnya terselamat di dunia dan akhirat,” katanya. – Malaysiapost

