JUMLAH pemberian vaksin Covid-19 sehingga semalam ialah 21,200,473 dos dengan 14,247,659 individu menerima dos pertama dan 6,952,814 individu lengkap menerima dos kedua.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata data terbaharu itu adalah termasuk pelaporan pemberian vaksin secara manual seperti program jangkau luar (outreach) komuniti di seluruh negara.
Menurutnya, aktiviti pengharmonian data mingguan telah dijalankan setiap Isnin.
“Data setiap Isnin adalah termasuk pelaporan manual seperti program-program outreach.
“Jumlah pemberian vaksin semalam pula adalah sebanyak 480,122 dos,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Sementara itu berdasarkan infografik yang dikongsinya, Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan pemberian vaksin tertinggi setakat ini dengan 5,961,204 penerima dos pertama dan 2,311,706 penerima lengkap dua dos.
Setakat semalam, peratusan program vaksinasi di Malaysia adalah 43.6 peratus daripada keseluruhan populasi sudah divaksinasi dengan satu dos, manakala penerima dua dos vaksin adalah sebanyak 21.3 peratus daripada populasi keseluruhan. – Malaysiapost

