BADAN Perhubungan Umno Kelantan berpendirian tegas mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata Umno Kelantan juga sepakat untuk terus mempertahankan dan membela Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, ia selaras dengan asas-asas dan matlamat perjuangan Umno yang di peruntukan dalam Fasa 3.2 Perlembagaan Umno.
“Umno Kelantan kesal dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Kenyataan Istana Negara Khamis lalu, bukan sahaja mendedahkan bahawa Tuanku belum memperkenankan pembatalan semua Ordinan Darurat sebagaimana dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dalam Dewan Rakyat 26 Julai lalu.
“Baginda jelas menitahkan supaya Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di dalam Parlimen sebagaimana yang diperuntukan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kegagalan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu bentuk penderhakaan yang nyata, sehinggakan Agong sendiri terpaksa mengeluarkan warkah khas bagi menjelaskan kronologi dan justifikasi pendirian Baginda kepada Perdana Menteri.
“Malah kenyataan berbau angkuh yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri bagi menjawab kenyataan Istana Negara juga menyerahkan sikap Perdana Menteri yang jelas mencabar kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan.
“Penutupan Parlimen atas alasan diserang virus Covid-19 juga hanya menyerahkan lagi sikap kerajaan yang sanggup mempermainkan dan meremehkan sistem demokrasi Berparlimen,” katanya.
Ahmad Jazlan berkata, penutupan Parlimen juga dilihat sebagai satu lagi tindakan derhaka dilakukan kerajaan sedangkan Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah lebih tiga kali mengenainya. – Malaysiapost

