JAIS jawab tuduhan isu pengurusan jenazah Covid-19

0
2

PENGENDALIAN pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor telah disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan pasukan barisan hadapan hospital terutamanya di Bahagian Forensik bagi mengelakkan berlaku kes tertangguh (backlog) jenazah kematian orang Islam akibat Covid-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penjelasan itu susulan beberapa tuduhan dan isu yang dibangkitkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai pengurusan jenazah Covid-19 di negeri berkenaan.

Menurutnya, ketetapan itu dibuat bersama pihak hospital dan pihak lain yang berkaitan.

“JAIS turut meneliti dan memperhalusi beberapa isu dan permasalahan, fakta semasa, kekuatan dan kemampuan pasukan jenazah Covid-19 sedia ada, keutamaan mengurus jenazah dengan kadar segera, kepentingan, kebajikan serta keperluan pihak terlibat terutama keluarga atau waris jenazah Covid-19.

“JAIS juga telah menetapkan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pihak keluarga atau waris atas setiap pengurusan jenazah Covid-19 yang diuruskan JAIS.

“Bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan (termasuk kos membuat keranda jika perlu) yang akan terus dibayar oleh keluarga atau waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIS hanya akan menguruskan jenazah Covid-19 yang telah dilepaskan oleh pihak hospital.

“Perkara seperti memaklumkan tentang kematian pesakit Covid-19 dan kehadiran pihak waris ke hospital adalah di bawah urusan pihak hospital.

“Selain itu, JAIS telah menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak.

“Bagi situasi berkeperluan khas, JAIS juga boleh membuat pertimbangan tertentu untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan kepentingan umum, khususnya umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia adalah menjadi tanggungjawab JAIS memastikan urusan hal ehwal umat Islam di Selangor diurus sebaiknya termasuklah dalam hal melibatkan kematian orang Islam.

“Urusan pengurusan jenazah akibat Covid-19 juga adalah menjadi tanggungjawab JAIS bagi mengurus dan membuat apa-apa ketetapan mengenainya bagi memastikan pengurusan jenazah dapat dibuat dengan sebaik mungkin.

“Oleh demikian beberapa siri serangan terhadap JAIS di media sosial dalam hal pengurusan jenazah Covid-19 adalah suatu telahan yang menyimpang, tidak tepat, bersifat prejudis dan boleh menimbulkan perspektif buruk kepada dasar dan ketetapan baru JAIS berhubung pengurusan jenazah Covid-19 yang telah dikuatkuasakan di seluruh Selangor pada 28 Julai 2021,” katanya.

Berikutan beberapa tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan itu, JAIS meminta pihak keluarga, waris jenazah Covid-19, Pertubuhan Bukan Kerajaan atau individu yang mempunyai fakta dan bukti termasuk perbuatan bersifat jenayah atau salah guna kuasa dalam perlaksanaan ketetapan tersebut untuk membuat aduan kepada JAIS atau pihak berwajib untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, JAIS juga mempelawa para sukarelawan dan mana-mana Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ingin turut bekerjasama dalam membantu menguruskan jenazah Covid-19 dan hendaklah tertakluk untuk patuh kepada ketetapan yang dibuat oleh JAIS. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here