BN umum calon Selasa atau Rabu, Warisan Khamis

0
3

PARTI politik mula sibuk memuktamadkan senarai calon dan kerusi ditandingi menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Setakat ini, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijadual mengumumkan calon pada Selasa atau Rabu, manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya pada Khamis.

Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam menyatakan pihaknya sudah menyelesaikan 90 peratus pemilihan calon, namun belum menjelaskan jumlah kerusi ditandingi parti itu.

“Kita akan menyelesaikan soal calon secepat mungkin dan akan membuat pengumuman pada Isnin atau Selasa,” katanya.

Bung Moktar dijangka bertanding di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Kinabatangan.

Setakat ini, difahamkan Umno mungkin bertanding lebih 30 daripada 73 kerusi di seluruh negeri, lebih banyak berbanding Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) walaupun sebelum ini parti itu turut menuntut lebih 30 kerusi.

Bakinya dibahagikan pula di antara Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS.

Sementara itu, Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam memaklumkan parti itu akan mengumumkan calon Warisan Plus pada Khamis ini.

Warisan dijangka kekal mendominasi senarai kerusi yang ditandingi gabungan itu, diikuti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), DAP, PKR dan Amanah.

Setakat ini, Mohd Shafie dijangka akan mempertahankan kerusi DUN Senallang, Semporna yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Selain BN dan Warisan, Parti Liberal (LDP) dijangka mengumumkan senarai calon pada Rabu, manakala Parti Cinta Sabah (PCS) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Baru belum membuat sebarang pengumuman setakat ini. -Malaysiapost