Mesyuarat Khas Dewan Negara ditangguhkan

0
2
dewan negara

MESYUARAT Khas Dewan Negara yang sepatutnya berlangsung 3 hingga 5 Ogos ini, ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan kelak.

Perkara itu dimaklumkan menerusi notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli Dewan Negara bertarikh hari ini.

Menerusi surat itu, Yang Dipertua Dewan Negara menerima makluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai 2021 yang memutuskan supaya persidangan mesyuarat khas bagi Dewan Negara ditangguhkan selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

“Penangguhan ini dibuat selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) serta penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” menurut notis terbabit.

Semalam, media melaporkan Sidang Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi surat bertarikh 31 Julai yang diedarkan kepada Ahli Parlimen.

Menerusi surat tersebut, dinyatakan penangguhan tersebut selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan KKM. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here