Sesi vaksin ‘walk in’ bagi Lembah Klang bermula 2 Ogos

0
2
Penerima-penerima hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini.

VAKSINASI secara ‘walk in’ khusus bagi penduduk di kawasan Lembah Klang akan berkuat kuasa bermula 2 Ogos ini.

Pemberian vaksin itu dilakukan di 10 pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih dan melalui ‘outreach programme’ ke kawasan pinggiran Lembah Klang.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan berkata, PPV terpilih berkenaan termasuk tiga di PPV KL Convention Centre iaitu HCO F, HCO G dan HCO H, Bangi Avenue Convention Center (BACC) dan Hotel Wyndham, Klang.

Selain itu, PPV Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Sementara, PPV Stadium Nasional Bukit Jalil dikhaskan untuk pemberian vaksin secara ‘walk in’ untuk warga asing.

“Selepas tarikh itu iaitu bermula 5 hingga 22 Ogos pemberian vaksin adalah terbuka untuk warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Kenyataan itu berkata, individu yang hadir untuk suntikan vaksin perlu membawa bukti mereka bermastautin di Lembah Klang seperti alamat di kad pengenalan, lesen memandu, sebarang bil utiliti atau kad kredit, kad pekerja, kad pelajar, surat perjanjian dan sebagainya.

“Untuk golongan komorbid, mereka diminta membawa sebarang bukti yang menunjukkan mereka komorbid seperti kad rawatan atau kad temu janji,” katanya.

Komorbid adalah istilah perubatan yang merujuk kepada individu yang menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak serta berisiko tinggi mendapat banyak komplikasi jika dijangkiti Covid-19.

Selain itu, katanya, masa ‘walk in’ bermula jam 2 petang setiap hari, tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing.

Bagi warga asing di Lembah Klang, mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’ di PPV Stadium Bukit Jalil saja bermula 9 hingga 11 Ogos ini, khusus untuk mereka berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid.

“Pemberian vaksin untuk warga asing berusia 18 tahun ke atas pula akan dibuka pada 12 hingga 22 Ogos.

“Masa ‘walk in’ bermula jam 2 petang dan mereka perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti mereka menetap di Lembah Klang sama seperti warga Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, bagi warga asing yang tiada dokumen pengenalan atau perjalanan sah, mereka akan melalui proses ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara yang sudah dikeluarkan CITF.

Jelas kenyataan itu lagi, individu ‘walk in’ yang mempunyai dokumen pengenalan sah akan didaftarkan terlebih dulu dalam sistem MySejahtera di kaunter pendaftaran di PPV sebelum divaksinasi.

“Golongan ibu hamil tidak perlu untuk walk-in bagi mendapatkan vaksinasi, sebaliknya janji temu mereka akan diberikan melalui MySejahtera.

“Individu yang sudah mendapat janji temu melalui MySejahtera tidak dibenarkan untuk ‘walk in’ dan mereka juga tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diterima di MySejahtera,” katanya.

Menurutnya, pemberian vaksin adalah secara ‘first-come-first-serve basis’ bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, di mana individu ‘walk in’ akan diletakkan di bawah ‘standby list’.

Mereka akan dikehendaki untuk hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari terbabit sudah habis digunakan.

Berkenaan sesi vaksinasi secara ‘walk in’ melalui program jangkauan di kawasan pinggiran Lembah Klang, CITF memaklumkan ia akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 9 Ogos ini.

“Tarikh dan lokasi bergantung kepada perancangan pihak terbabit seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang menganjurkan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) serta lain-lain agensi seperti Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan di kawasan sasaran.

“Hebahan tarikh, masa dan lokasi akan dilakukan melalui media sosial, media tradisional dan melalui kerjasama Pejabat Daerah yang berkenaan serta Jabatan Penerangan Negeri Selangor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here