Olimpik Tokyo: Nur Dhabitah mara ke final

0
3

HARAPAN untuk melihat skuad terjun negara menghadiahkan pingat buat negar pada temasya Sukan Olimpik 2020 kembali cerah selepas Nur Dhabitah Sabri mara ke final acara 3 meter papan anjal wanita, esok.

Dhabitah mengesahkan tike ke final selepas berjaya menghimpunkan 312.60 mata selepas menghabiskan lima terjunan dalam saingan separuh akhir di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun sebentar tadi.

Kutipan mata terbabit sudah cukup meletakkan atlet berusia 22 tahun itu berada pada kedudukan keenam, sekali gus berada dalam kelompok 12 penerjun terbaik.

Pencapaian ini membolehkan dia mengulangi pencapaian Ng Yan Yee yang turut mara ke final acara berkeanan pada temasya Olimpik Rio, lima tahun lalu.

Menamatkan dua pusingan pada kedudukan ketujuh, Dhabitah melonjak ke kedudukan kelima selepas terjunan keempat, namun mengakhiri pusingan kelima pada kedudukan keenam.

Apapun, kedudukan itu dilihat lebih baik berbanding pada pusingan awal yang menyaksikan dia menduduki tempat ke-10 daripada 27 pesaing, semalam.

Bagaimanapun, Dhabitah jelas perlu bekerja lebih keras dan menampilkan terjunan lebih baik pada aksi final seandainya mahu mencabar bagi kedudukan pingat pada final nanti.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan ucapan tahniah terhadap kejayaan Dhabitah mara ke final.

“Yes! Dhabitah layak ke pentas final dalam acara 3m Terjun Papan Anjal Individu Wanita.

“Bitah melakukan terjunan yang cukup konsisten pada pusingan separuh akhir. Secara keseluruhan, dia berada di ranking ke-6 dengan catatan 312.60 mata selepas menamatkan 5 terjunan,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata, 12 penerjun terbaik dalam pusingan separuh akhir akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan esok.

“Saya berharap Bitah dapat melakukan terbaik semasa final nanti dan memecah pencapaian personal best beliau di FINA World Series London 2019 dengan catatan 344.40 mata.

“Tahniah Bitah! Teruskan fokus. You can do this girl!,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here