KETUA Penerangan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyeru seluruh lapisan masyarakat meneliti siri penjelasan yang diberikan kerajaan mengenai situasi terkini negara.
Semua Ketua Penerangan itu dalam satu kenyatan bersama berkata, ini kerana terlalu banyak pihak cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri, termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.
“Rakyat mesti peka dengan gerak kerja yang tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar.
“Kami menyeru supaya tumpuan kita dikembalikan kepada usaha menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional yang telah dirangka oleh Kerajaan.
“Sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, kami berikrar untuk terus membantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Katanya, semua Ketua Penerangan kerajaan PN menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong seperti yang dizahirkan baru-baru ini.
Kenyataan itu berkata, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperlihatkan iltizam Baginda mahu memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta ahli-ahli parlimen yang telah dengan tuntas menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran Covid-19.
“Ini adalah keutamaan sebenar negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” katany kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama tersebut mewakili Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad; Ketua Penerangan Parti Maju Sabah (SAPP) Chin Vui Kai; Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kumin; Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) Koo Shiaw Lee; Ketua Penerangan Malaysian Indian Congress (MIC) Datuk V Gunalan.
Diikuti Pengerusi Biro Penerangan Malaysian Chinese Association (MCA) Chan Quin Er; Setiausaha Penganjur Kebangsaan Parti Demokratik Progresif (PDP) Yong Li Na; Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Julita Majungki; Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang; Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak Datuk Wilfred Nissom; Setiausaha Publisiti dan Penerangan Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Adam Yii. – Malaysiapost

