Covid-19: Agong isytihar darurat Sarawak hingga Februari 2022

0
2
ydpa agong

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk menggantung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula Isnin ini sehingga 2 Februari 2022.

Titah baginda, Proklamasi Darurat diisytiharkan bagi mengelak wabak Covid-19 terus merebak.

Bagi Fasal 1 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dalam keadaan itu baginda boleh mengeluarkan satu Proklamasi Darurat untuk menggantung PRN ke Dewan Undangan Negeri.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Bagaimanapun, proklamasi tersebut akan terlebih dahulu dibentangkan di Parlimen berdasarkan peruntukan Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut warta tersebut, Seri Paduka Baginda yang merupakan ketua utama negara bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia menzahirkan rasa puas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

“Bahawasanya menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sarawak telah sepatutnya terbubar pada 7 Jun 2021, tetapi Fasal (3) Perkara 21 tidak mempunyai kesan menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 [P.U. (A) 12/2021] yang menggantung pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan terhenti berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 mengikut Proklamasi Darurat [P.U. (A) 7/2021] yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 yang pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri dikehendaki untuk diadakan dalam 60 hari dari 2 Ogos 2021 mengikut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Titah Seri Paduka Baginda, Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa dalam keadaan yang tersebut baginda boleh mengeluarkan suatu proklamasi darurat untuk menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri untuk menghalang daripada terus merebaknya wabak Covid-19 jika pilihan raya umum diadakan.

“Maka, oleh yang demikian, beta, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dengan kurnia Allah, Yang di-Pertuan Agong bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada beta sebagaimana yang tersebut di atas mengisytiharkan bahawa suatu darurat besar sedang berlaku dan bahawa Proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh Negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022.” – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here