Ordinan Darurat: Agong utus warkah kepada PM?

0
2

YANG di-Pertuan Agong dipercayai mengutuskan warkah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat.

Menerusi warkah bertarikh 29 Julai 2021 yang tular di media sosial itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipercayai memaklumkan kronologi berhubung pembatalan semua ordinan-ordinan berkenaan.

Berikut ialah isi kandungan penuh warkah tersebut:

  • Pada 23 Julai 2021, warkah daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rujukan MKN.12(RB)600-1/2/1(32) mengenai Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang dimasyurkan di bawah Proklamasi Darurat diterima di Istana Negara, Kuala Lumpur.
  • Keesokannya iaitu pada 24 Julai 2021, Beta telah menerima warkah tersebut di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
  • Setelah Beta meneliti isi kandungan warkah tersebut pada hari yang sama iaitu 24 Julai sekitar jam 4.30 petang, Beta telah menitahkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara untuk mengadap Beta secara maya. Perkara ini Beta laksanakan selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Semasa sesi mengadap secara maya tersebut, Beta telah menitahkan:

  1. Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ianya dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen Selain akan keperluan ianya diwartakan.
  2. Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu.
  3. Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentangkan dan diungkaikan di Parlimen selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
  4. Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berhubung tindakan undang-undang atau kompaun yang telah dikeluarkan di bawah Ordinan-Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25 Julai 2021.

Sehubungan itu, Beta berasa amat dukacita kerana apa yang telah Beta perkenankan dan dititahkan pula kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Peguam Negara semasa sesi mengadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen tidak dituruti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu selanjutnya telah memberikan kenyataan yang bercanggah dan tidak tepat dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 bahawa kerajaan telah membatalkan kesemua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai 2021. Kenyataan itu pada hemat Beta telah mengelirukan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Menarik perhatian Yang Amat Berhormat, Beta sedia maklum akan perlunya Beta bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Walaubagaimanapun, keputusan muktamad berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut pada hemat Beta sewajarnya mengambil kira akan situasi-situasi semasa seperti berikut:

  1. Cadangan pembatalan ini telah disembah lewat kepada Beta iaitu pada 24 Julai 2021. Tambahan pula, ianya terlalu hampir dengan tarikh persidangan Parlimen yang telah semua sedia maklum bakal bermula pada 26 Julai 2021.
  2. Sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya menzahirkan impak negatif kepada Beta.
  3. Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dilakukan dengan membelakangi fungsi dan kuasa Beta selaku Ketua Negara seperti terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan .
  4. Tarikh kuatkuasa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah dibelakangkan atau retrospective dengan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021 manakala permohonan diterima pada 23 Julai 2021.
  5. Pembatalan Ordinan Darurat adalah merupakan kuasa perlembagaan Beta dan bukannya terletak di atas kuasa Jemaah Menteri semata-mata.

Berdasarkan huraian-huraian di atas dan sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung, Beta menitahkan agar cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.

Titah Beta ini juga adalah selaras dengan cabutan minit mesyuarat Jemaah Menteri secara sidang video pada 21 Julai 2021 (muka surat 22) bahawa… ” Kesemua Ordinan berkenaan hendaklah dibentang dihadapan kedua-dua Majlis Parlimen seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, ianya juga selaras dengan prinsip akauntabiliti kerajaan kepada Parlimen di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, susulan kenyataan dikeluarkan Istana Negara berkaitan pembatalan Ordinan Darurat, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan media bagi memberi penjelasan berhubung isu berkenaan pembatalan ordinan-ordinan darurat.

Kerajaan sentiasa menjunjung titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang dizahirkan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021 yang antara lain menekankan bahawa darurat tidak perlu disambung selepas 1 Ogos 2021 dan perlunya Parlimen bersidang secepat mungkin. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/07/29/pembatalan-ordinan-darurat-jemaah-menteri-nasihati-agong-sebelum-sidang-khas-pm/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here