DATUK Seri Takiyuddin Hassan hari ini merafak sembah menyembahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-62, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Takiyuddin turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong dilanjutkan usia.
“Patik mendoakan dilanjutkan usia, harmoni sejahtera Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
“Ampun Tuanku,” tulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu.
Terdahulu semalam Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.
Al-Sultan Abdullah Rrayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

