Kembalikan hak dan keistimewaan Sabah

0
3

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu melaksanakan tanggungjawab dan kewajipannya dalam mengembalikan hak serta keistimewaan Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perlembagaan.

Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), Jo-Anna Henley Rampas, berkata ia perlu dilaksanakan dengan memastikan agihan peruntukan perbelanjaan tahunan dibuat secara adil.

Katanya, perkara itu disebut sendiri Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada rakyat di Kimanis ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, Januari lalu.

“Apa sudah jadi dengan janji itu? Tambahan lagi, selepas lebih 20 tahun, Sabah menyumbang kepada persekutuan menerusi minyak dan gas kita, kelapa sawit dan ini terbukti berdasarkan kedudukan Sabah sebagai penyumbang keenam terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Tuaran.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Masidi Manjun, mengenai kedudukan Sabah yang masih memerlukan bantuan Pusat.

Masidi dilaporkan berkata Sabah perlu dibantu kerajaan Pusat untuk menghidup dan mengukuhkan ekonomi negeri yang merosot disebabkan Covid-19.

Jo-Anna berkata, pandangan seumpama itu oleh Bersatu Sabah menjadi punca negeri berkenaan kurang yakin dengan kedudukannya dalam Persekutuan.

“Masidi kata Sabah memerlukan bantuan, itu salah. Kita tidak perlukan bantuan melainkan Sabah adalah negeri tandus yang tiada sumber sama sekali seperti Perlis.

“Apa yang kita perlukan ialah Persekutuan perlu memenuhi tanggungjawab dan kewajipan untuk menunaikan hak dan keistimewaan kita,” katanya.

Katanya, Sabah juga mahu perbincangan kerajaan kepada kerajaan (G2G) yang teratur dan profesional, bukan secara ‘bisik-bisik’ seperti yang selalu digunakan Umno Sabah.

Jo-Anna berkata Sabah bergerak di landasan yang betul dari segi pengurusan akaun fiskal dan hasil.

“Perbelanjaan berhemah ialah kuncinya dan sebab itulah Ketua Menteri kita dapat melaksanakan pakej rangsangan kita sendiri untuk membantu mereka yang terjejas dengan Covid-19 dan ia membuktikan kita boleh menangani pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata jika Bersatu atau PN benar-benar komited dan kurang berpolitik selepas menang pilihan raya seperti dikatakan Masidi, mereka sepatutnya menghalang cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan pada Julai lalu. -Malaysiapost