PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Jemaah Menteri tiada pilihan wajib meletak jawatan serta-merta kerana derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong serta Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ia jelas berdasarkan kandungan kenyataan media Istana Negara hari ini yang menzahirkan fakta bahawa Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan beberapa kesalahan.
“Derhaka terhadap KeBawah Duli YDP Agong, derhaka terhadap Perlembagaan Persekutuan dan salah nyata palsu terhadap Dewan Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sepanjang tempoh Darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.
Al-Sultan Abdullah Rrayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dipersetujui terdahulu dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri idrus Harun pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Katanya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.
Ia bukan saja gagal menghormati pnnsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. = Malaysiapost

