Tiga aspek utama bantuan, rangsangan ekonomi – Tengku Zafrul

0
3

PAKEJ bantuan dan rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan adalah berdasarkan tiga aspek utama iaitu melindungi nyawa melalui pengukuhan sistem kesihatan awam dan vaksinasi kebangsaan; melindungi rakyat; dan menjamin kelangsungan perniagaan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata agenda utama kerajaan sejak awal penularan Covid-19 adalah memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

Beliau berkata, sehubungan itu ia mesti disokong melalui sistem kesihatan awam yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman kesihatan, berada pada kapasiti optimum dan berfungsi pada tahap terbaik.

“Untuk itu, Kementerian Kesihatan (KKM), selaku institusi yang menerajui segenap aspek berkaitan kesihatan awam telah dibekalkan peruntukan khas lebih RM3.7 billion khusus sebagai perbelanjaan berkaitan Covid-19, tidak termasuk perolehan vaksin.

“Kesemua perbelanjaan ini untuk pembelian kit ujian saringan, kos logistik berkaitan vaksin, meningkatkan kapasiti peralatan kesihatan dan perubatan serta wad ICU, dan menampung perbelanjaan elaun khas kepada sukarelawan kesihatan,” katanya ketika penerangan Pakej Bantuan Ekonomi pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, bagi program vaksinasi pula, kerajaan memperuntukkan RM3.9 bilion bagi perolehan bekalan vaksin yang telah ditandatangani kontrak sebanyak 79.9 juta dos.

Katanya, bagi aspek melindungi rakyat, Kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi mengenai kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta suara mereka menjadi panduan kepada inisiatif-inisiatif pakej bantuan Kerajaan.

Tengku Zafrul berkata, rakyat diberi bantuan melalui bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bernilai RM18 bilion serta tiga bantuan lagi iaitu, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC)dan Bantuan Kehilangan Pendapatan yang ketiga-tiganya bernilai RM10 bilion.

“Selain bantuan kewangan tunai, antara inisiatif yang sedang rancak dijalankan pada masa ini ialah program bantuan Bakul Makanan.

“Kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah lebih 200 juta ringgit untuk program bantuan Bakul Makanan yang telah diagihkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga menumpukan inisiatif kepada golongan sasar seperti belia, pelajar, wanita dan ibu tunggal selain pencari kerja dan pelatih.

Dalam aspek menjamin kelangsungan perniagaan pula beliau berkata, bantuan yang berterusan telah dan sedang dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan dan melonjakkan kembali perniagaan terutama Pengusaha mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here