MB Selangor arah bengkel diroboh

0
2

PEMILIK bengkel menyelenggara jentera berat yang dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Gong akan diarah untuk mengosong dan memulihkan semula tanah itu dengan segera, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, yang bakal diserahkan kepada pemilik premis terbabit, Isnin ini.

Antara lain notis itu mewajibkan pemilik meroboh bangunan atau berdepan tindakan pihak berkuasa tempatan.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata sebuah premis dipercayai menjadi punca pencemaran selepas disyaki membuang bahan pelarut ke Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Tindakan pemilik bengkel itu menyebabkan berlaku ganggu bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta akaun di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang hingga dijangka berterusan sekurang-kurangnya empat hari.

Susulan kes berkenaan, polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi. -Malaysiapost