Aiman Hanif
“TIDAK perlu berpesta sehingga mabuk lalu menimbulkan pelbagai lagi permasalahan,” demikian kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sekiranya pusat hiburan ditutup buat selamanya adalah tepat.
Jelasnya, hanya segelintir masyarakat yang suka kelab malam beroperasi, majoriti lagi menolaknya.
“Kenyataan PM tepat. Kalau tak buka selamanya pun tak apa. Berhibur sahaja di rumah masing-masing bersama rakan dan taulan. Tidak perlu berpesta sehingga mabuk lalu menimbulkan pelbagai lagi permasalahan.
“Hanya segelintir yang suka. Ramai yang tidak bersetuju. Ikutlah suara ramai sebagai suara demokrasi majoriti dan minoriti,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 1 September lalu, ketika berucap di Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN)
Muhyiddin secara berseloroh berkata bagus juga jika kelab malam tidak dibuka selamanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas kerajaan membuka hampir semua sektor semula.
“Yang tak buka hanya kelab malam dan. Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot,” katanya sambil tersenyum.
Sektor ekonomi negara kini dibuka semula membabitkan hampir kesemua sektor selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19. -Malaysiapost
