Berparti antara kesalahan ingkar PKPP semalam

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

SERAMAI 46 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 45 individu dikompaun manakala seorang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk 15 parti persendirian; kesalahan gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (8 ); tidak memakai pelitup muka (11) dan premis beroperasi lebih masa (10).

“Selain terdapat juga premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (satu) dan aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (satu),” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 55,838 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Sebanyak 3,185 pasukan pematuhan membabitkan 13,314 anggota membuat pemantauan di 3,498 pasar raya; 4,527 restoran serta 1,334 penjaja; 898 kilang; 3,275 bank dan 764 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau ialah 1,016 terminal pengangkutan darat; 168 terminal pengangkutan air dan 101 terminal pengangkutan udara,”katanya. -Malaysiapost