Siti Sarah, Shuib, sekeluarga disahkan positif

0
3

“ASSALAMUALAIKUM semua..kami dah dapat keputusan swab test pagi ini..dukacita dimaklumkan, kami sekeluarga positif Covid,” kata Siti Sarah Raissuddin

Penyanyi dan usahawan popular yang kini sarat mengandung itu, mendedahkan dia dan suami yang juga pelawak Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad serta anak-anaknya disahkan positif Covid-19.

Keputusan itu diperoleh selepas melakukan ujian saringan susulan pembantu rumah mereka disahkan positif wabak berkenaan semalam.

“Ini semua ketentuan Allah, kami terima dengan hati terbuka dan berlapang dada. Mohon semua doakan kami sekeluarga mengharungi 14 (kuarantin) ini.

“Kami serahkan semuanya kepada Allah. Amin insha-Allah,” katanya di laman Instagram hari ini.

Menurutnya, dia dan keluarga akan kekal positif dan melihat apa yang terjadi sebagai satu hikmah dan berharap semua dapat mendoakan mereka segera sembuh.

Sementara itu, Siti Sarah juga menjelaskan semua urusan perniagaan dan perkara lain membabitkan dirinya akan berjalan seperti biasa.

“Pihak admin akan post di IG ini bagi pihak Sarah,” katanya.

Terdahulu dalam satu hantarannya di Instagram semalam, beliau memaklumkan pembantu rumah mereka disahkan positif Covid-19 dan mereka sekeluarga kemudian menjalani ujian saringan.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap anak-anaknya terutama kandungannya yang kini sudah masuk usia tujuh bulan, jika mereka disahkan positif.

“Sarah tak fikir apa-apa dah, yang risau anak-anak dan baby dalam perut ni,” katanya.

Siti Sarah berkahwin dengan pelawak dan ahli perniagaan, Shuib pada 26 Februari 2011 dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here