Nurul Huda Abhar
SEMUA Ahli Parlimen diminta tidak menyalahgunakan persidangan khas Dewan Rakyat yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini semata-mata untuk kepentingan politik.
Ketua Umno Bahagian Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, persidangan khas kali ini sangat penting kerana seluruh rakyat menyaksikannya dan menunggu keputusan yang dicapai persidangan berkenaan.
“Bagi saya persidangan Parlimen kali ini sangat penting kerana bukan dilihat seperti persidangan biasa, seluruh rakyat Malaysia menyaksikannya.
“Bagi saya ada kepentingan rakyat. Rakyat mahu mengetahui apa yang dibincangkan dan apa keputusan yang dicapai dalam persidangan itu.
“Saya merayu kepada semua Ahli Parlimen tidak kira dari blok kerajaan atau pembangkang supaya berhati-hati dan jangan menggunakan pentas persidangan khas ini untuk kepentingan politik,” katanya menerusi rakaman video, hari ini.
Megat Zulkarnain berkata, semua keputusan yang hendak dicapai dalam persidangan khas kali ini harus dibuat atas dasar kebaikan rakyat, bukan mementingkan ego parti politik semata.
“Kesilapan ini boleh mengundang kepada perkara yang lebih besar. Kalau mempertahankan ego, saya percaya natijahnya akan sampai kepada rakyat.
Keputusan yang salah boleh mengundang kesilapan yang lebih besar,” katanya.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, mulai hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.
Walaupun berlangsung lima hari, namun sidang khas ini adalah kali pertama diadakan tahun ini selepas digantung kerana pelaksanaan Proklamasi Darurat sejak Januari lalu.
Pada sidang khas itu, semua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan SOP yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan Covid-19 serta memakai pelitup muka. – Malaysiapost

