KEIKHLASAN Kerajaan mengadakan sidang Parlimen hari ini bakal diuji adakah ianya umpama melepaskan batuk di tangga atau sebaliknya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setelah didesak berulang kali, akhirnya kerajaan setuju untuk mengadakan sidang Parlimen walaupun ianya bakal diadakan selama lima hari.
Namun, katanya, sidang khas Parlimen akan menjadi tumpuan ramai adakah sekadar melepaskan batuk di tangga atau dapat membahaskan menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Mari kita tengok pulak Parlimen yang mula bersidang hari ni setelah banyak kali didesak.
“Betul-betul ke untuk selesaikan masalah rakyat atau main batuk-batuk sahaja?,” soalnya di Facebook, hari ini.
Bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani itu turut berkongsi maksud batuk yang sebenar dalam bahasa Jawa.
“Baru tahu “batok” ialah tempurung pencedok air dalam bahasa Jawa. Kat tangga rumah orang dulu, ada tempayan air untuk cuci kaki sebelum naik ke rumah.
Melepaskan batok di tangga bererti tak meletakannya betul2 di tempat asalnya selepas cuci kaki. Lempar sahaja ditangga. Kerja orang malas, sambil lewa. Tak bersungguh2, dan dianggap tidak beradab,” katanya sinis.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 berlangsung selama lima hari, mulai hari ini sehingga 29 Julai dan 2 Ogos.
Pada sidang khas itu, kesemua 220 Ahli Parlimen termasuk yang belum divaksin dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan Covid-19 serta memakai pelitup muka. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Shabery Cheek

