SEORANG guru dan warga emas maut manakala dua parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung di Kilometer 164 Jalan Kuantan-Kemaman dekat Kampung Kubang Ikan, Pahang petang semalam.
Mangsa dikenali Mohd Sharfizza Hashim, 43, seorang guru dari Kampung Gong, Kemaman dan Tan Mong Eng, 76, pengasuh pusat asuhan kanak-kanak dari Chukai, Kemaman meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa cedera parah adalah anak-anak kepada Mohd Sharfizza iaitu Muhammad Zakwan, 14, dan Nur Zahraa Aisyah, 10.
Beliau berkata, kemalangan jam 3.45 petang itu, dipercayai berlaku selepas kereta Toyota Vios dipandu Mong Eng dari Kuantan menghala ke Kemaman terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh Nissan Almera dipandu Mohd Sharfizza bersama anak-anaknya.
“Kedua-dua pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Sementara mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kemaman,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaPost

