Jamal ajak warga Selangor mandi di Pejabat MB

0
2

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mempelawa rakyat Selangor mandi di pejabat Menteri Besar.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Instagramnya pagi tadi.

“Hai, rindu saya? Apa macam, anda sudah mandi? Jom ke SUK (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor).

“Menumpang mandi di pejabat Menteri Besar Selangor,” katanya berserta gambar beliau bertuala yang pernah tular sebelum ini selepas bekalan air terputus di beberapa kawasan di Selangor.

Pada Disember 2016, Jamal tampil bertuala putih dan berus gigi di hadapan bangunan SUK sebagai tanda protes berkenaan bekalan air yang sering terputus di negeri itu.

Gambar berkenan menjadi tular semula sejak beberapa hari lalu.

Khamis lalu, loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan operasinya berikutan pencemaran bau dikesan di muka sauk loji berkenaan.

Ia sekali gus menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sebuah kilang disita dan dikenakan kompaun serta-merta selepas dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor. -Malaysiapost