Nik Abduh negatif Covid-19

0
2

AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata keputusan saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) Jumaat lalu adalah negatif Covid-19.

Nik Mohamad Abduh berkata, namun berita mendakwa dirinya positif Covid-19 telah tersebar sejak semalam tanpa mendapat pengesahan daripadanya.

Justeru, katanya, demi kepentingan bersama beliau sekali lagi membuat ujian saringan berkenaan pagi tadi dan keputusannya adalah negatif.

“Saya melakukan ujian RT-PCR pada hari Jumaat 23 Julai 2021 lepas. Alhamdulillah, petang semalam saya menerima keputusan ‘not detected’.

“Tetapi semalam juga tersebar berita bahawa saya disahkan positif Covid-19 tanpa pengesahan daripada saya sendiri. Ia mungkin disebabkan kekeliruan yang berlaku pada pagi semalam.

“Saya sudah nafikan kepada beberapa portal berita yang telah menghubungi saya untuk kepastian,” katanya di Facebook hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, beliau memohon kemaafan di atas kekhilafan yang berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada rakan dan kenalan yang menghubungi dan mendoakan kesihatannya.

“Saya memberitahu pimpinan parti saya bahawa saya akan sekali lagi melakukan ujian RT-PCR pada pagi ini. Alhamdulillah, keputusan RT-PCR pagi ini, saya negatif Covid-19.

“Semoga Allah mengurniakan kita semua dengan kesihatan, kekuatan dan kesatuan hati dan tenaga untuk menempuh ujian besar ini. Esok saya akan hadir sidang Parlimen insya Allah,” katanya.

Semalam, media melaporkan sekurang-kurangnya 35 individu termasuk beberapa Ahli Parlimen dikatakan positif Covid-19 hasil ujian saringan yang dijalankan pada Jumaat lalu.

Saringan Covid-19 itu dilaksanakan sebagai langkah keselamatan dan pencegahan penularan wabak menjelang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here