Muhammad Mustakim Ramli
SELEPAS ‘melelong’ medal kejuaraan ‘treble’ ketika bersama Selangor dan Kedah, bekas penjaga gol Jamsari Sabian kini mahu melepaskan medal yang dimenanginya bersama MPPJ FC.
Menerusi Facebook peribadinya semalam, Jamsari mahu melepaskan medal kejuaraan sepanjang 2001 hingga 2004 itu kepada mereka yang berminat.
Bekas penjaga gol skuad Olimpik 2000 itu turut memaklumkan itu adalah koleksi terakhir yang berada di simpanannya.
“Untuk dijual koleksi MPPJ FC iaitu Juara Piala FAM 2001; Juara Piala Malaysia 2003; Juara Liga Perdana 2004 dan Juara Sumbangsih.
“Perjalanan sebuah sejarah bolasepak negara…’any collector’ yang berminat pm saya…’last collection’…..lepas ni takde dah semua syukur dah dilepaskan,” katanya.
Jamsari juga turut memuat naik gambar medal berkenaan yang diletakkan di dalam ‘frame’ yang turut ditandatangi oleh beliau.
Sebelum ini pada Julai lalu, Jamsari melepaskan medal yang dimenanginya bersama Selangor pada 2005.
Sama seperti medal MPPJ, Jamsari tidak menyatakan alasan mengapa beliau melepaskan medal kejuaraan bersama Selangor.
Malah, Jamsari juga turut pernah melepaskan medal bersama Kedah, namun beliau ada memaklumkan medal itu dilelong bagi tujuan derma kepada rakyat Palestine dan Syria.-Malaysiapos

