Tiada keperluan tubuh parti baharu

0
2

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyifatkan tiada keperluan membentuk dua lagi parti baharu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Anak Muda yang akan ditubuhkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, kewujudan Kedua-dua parti itu hanya memecah-belahkan lagi politik orang Melayu di negara ini.

“Kewujudan Parti Pejuang ini memecah-belahkan lagi politik orang Melayu. Pada masa sama, Parti Anak Muda pula memecah-belahkan rakyat antara golongan muda dan golongan tua.

” Politik ‘pecah-belah’ ini bakal merugikan suara anak muda di Malaysia jika mereka terkeliru dengan janji manis yang dibawa untuk PRU-15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun begitu, katanya, anak muda tidak perlu khuatir kerana sayap-sayap pemuda parti kerajaan hari ini mempunyai kerjasama utuh dalam membawa suara anak muda dalam kerajaan.

“Gabungan kerjasama antara sayap-sayap pemuda dan puteri antara Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera melalui Muafakat Nasional menjadi satu tawaran terbaik untuk merealisasikan harapan anak muda.

“Anak muda harus ingat kembali akan janji-janji manis Pakatan Harapan yang dimungkiri oleh Pemuda Pakatan Harapan yang juga merupakan individu sama yang mahu menubuhkan Parti Anak Muda,” katanya.

Shahir berkata, selama 22 bulan memerintah negara janji satu juta peluang pekerjaan hanyalah retorik politik.

“Selama 22 bulan memerintah negara, janji peruntukan RM1 billion kepada usahawan muda dan janji siaran percuma EPL pun hanyalah retorik politik,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, DPIM berpendapat bahawa persefahaman antara pemimpin muda dan senior adalah penting.

“Pemimpin muda mempunyai idea baru dan pemimpin senior mempunyai pengalaman yang berharga untuk dikongsikan.

“Tanpa pengalaman, rakyat boleh melihat kegagalan menteri muda Pakatan Harapan apabila gagal menulis kenyataan media yang baik, gagal menyatukan belia-belia di negara kita dan lebih berdrama daripada bekerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, realitinya Parti Anak Muda perlu jujur dalam menyatakan dana yang diperolehi menggerakkan parti berkenaan.

” Jangan pula dana tersebut diberikan oleh ‘tauke tua’ yang akhirnya menentu dasar Parti Anak Muda.

“Parti Anak Muda juga perlu melihat kepada realiti bahawa tidak mungkin mereka akan bertanding di 222 kawasan parlimen dan menang 112 kerusi untuk majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Akhirnya, undi anak muda akan menjadi sia-sia. Oleh itu, sayap-sayap pemuda adalah pilihan terbaik anak muda. Diharapkan kepimpinan parti politik akan memberikan lebih banyak ruang kepada pemimpin muda untuk PRU-15,” katanya lagi. -MalaysiaPost