Cef Wan kritik busana atlet Malaysia macam badut, semak!

0
2

CEF selebriti, Cef Wan secara lantang menyuarakan pandangan mengenai busana delegasi atlet negara ketika acara pembukaan Sukan Olimpik di Tokyo malam tadi, yang didakwa kelihatan murahan dan tidak menarik.

Malah, Cef Wan berkata paduan warna kuning dan merah pada busana itu seperti tidak kena dan kelihatan seperti badut.

“Pandangan pertama saya, tak menarik langsung? Kenapa mereka pakai macam badut. Kuning, merah dan corak geometrik, semak! Kerja menjahit pun nampak tak kemas dan kelihatan murah,” katanya dalam hantaran Instagram.

Bagi menguatkan lagi pendapat peribadinya itu, Che Wan berkata Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya dan baju kebangsaan lain yang boleh diketengahkan pada mata luar.

Oleh itu, beliau berkata memandangkan acara itu diadakan empat tahun sekali, tidak salah sekiranya usaha lebih diberi terhadap rekaan kostum atlet negara dengan membuka undian kepada pereka tempatan dan rakyat Malaysia boleh mengundi hasil kerja terbaik.

“Paling tidak satu dunia tengok macam mana rupanya. Sekurang-kurangnya mereka akan kata, wow itu Malaysia! tersendiri dan menyerlah.

“Ini tak habis-habis dengan si Hang itu, Hang ini! Apa kata anda? Atau cuma mata saya yang nampak lain. Inspirasi daripada Hang Tuah? Tak sudah-sudah pusing situ juga,” ujarnya.

Namun begitu, beliau tidak lupa untuk menyampaikan ucapan selamat berjaya kepada barisan atlet negara dalam temasya sukan tersebut.

“Tiada apa yang kami harapkan selain yang terbaik untuk mereka. Doa-doakan semoga semua selamat dan sihat-sihat selalu dalam usaha mengharumkan nama negara.

“Sangat berbangga dengan pencapaian dan pengorbanan mereka yang berusaha gigih untuk pertandingan ini, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Semalam, seramai 13 wakil kebangsaan termasuk atlet dan pegawai berarak masuk ketika acara pembukaan di Stadium Olimpik Tokyo lengkap berbusana dengan tema Laksamana Hang Tuah.

Acara itu menyaksikan tugas pembawa Jalur Gemilang diberi kepada atlet badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying.

Warna pakaian kontinjen negara diinspirasikan daripada warna Jalur Gemilang dan direka oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here