UJIAN Covid-19 selepas ini akan lebih mengutamakan individu bergejala, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam).
Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata ia antara usaha untuk menangani isu peningkatan jumlah pesakit Covid-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan dengan kadar segera.
Beliau berkata ia adalah strategi supaya perhatian penuh diberikan bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu.
Bagaimanapun katanya semua kes simptomatik (seperti demam, batuk dan selsema) ini masih perlu dinilai sama ada secara dalam talian atau secara fizikal di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
“Bagi kes positif tidak bergejala akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, kontak rapat kepada kes positif tidak bergejala digalakkan untuk melakukan ujian pantas Covid-19 sama ada di klinik berhampiran atau menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.
Jelas beliau, langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dilakukan di Lembah Klang dan untuk mengelak keadaan menjadi tidak terkawal.
“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri.
“Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, beliau memaklumkan sebuah ditubuhkan untuk menangani isu berkaitan peningkatan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan dengan kadar segera.
Katanya, Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) yang ditubuhkan akan memberi tumpuan penuh kepada perkara seperti penjagaan klinikal; CAC dan pemantauan kendiri di rumah; epidemiologi; logistik perubatan dan umum; sistem sokongan sosial bagi petugas hadapan; sumber manusia dan kewangan; serta komunikasi strategik. – Malaysiapost

