MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menafikan beliau adalah individu yang menempah ‘nasi ganja’ di Ipoh menggunakan helikopter seperti tular di media sosial semalam.
Menurutnya, terdapat pihak yang telah menyalahgunakan gambar lama diambil sekitar Disember 2020 untuk mendakwa dirinya memesan nasi vanggey menggunakan penghantaran helikopter.
“Lucu bila terima forwarded WhatsApp message kononnya saya order nasi ganja Ipoh guna helicopter.
“Mereka guna gambar lama saya makan nasi vanggey pada Disember 2020, tapi crop tarikh,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tengku Zafrul berkata, adalah lebih baik menggunakan perkhidmatan penghantaran seperti Nasi Kandaq Transporter dan Nasi Kandaq Runner bagi membantu usahawan kecil.
“Saya sebenarnya dah lama tak makan nasi vanggey, tapi dari order guna helikopter, baik guna delivery service yang banyak ada macam Nasi Kandaq Transporter, Nasi Kandaq Runner etc, boleh juga bantu usahawan kecil,” jelasnya.
Semalam, media melaporkan orang ramai dikejutkan dengan kehadiran helikopter milik syarikat swasta yang mendarat di Padang Ipoh.
Helikopter dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan mengambil pesanan daripada Kuala Lumpur iaitu tempahan 36 bungkus nasi kandar dari sebuah restoran popular di bandar raya itu yang dikenali sebagai ‘nasi ganja’. – Malaysiapost

