MAHKAMAH Sesyen Georgetown, menjatuhkan hukuman denda RM125,000 terhadap 25 lelaki warga Bangladesh selepas didapati melanggar prosedur standard operasi (SOP) dengan berkumpul pada Aidiladha baru-baru ini.
Setiap seorang didenda RM5,000 selepas kesemua mereka mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah, lapor Malaysia Gazette.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka berusia lingkungan 23 hingga 41 tahun itu didakwa berhimpun bersama orang lain bagi maksud sosial dalam sebuah rumah di Taman Desa Mutiara di Batu Maung pada 9 malam, Selasa lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) P.U (A) 293/2021.
Ia memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sekiranya gagal membayar denda, mereka akan dipenjara selama dua bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid manakala 21 tertuduh diwakili peguam menerusi majikan mereka, Muhammad Arif Shaharuddin. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malaysia Gazette

