Tak boleh rakam gambar, video ketika disuntik vaksin Covid-19

0
2
Petugas mencucuk vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

KERAJAAN tidak membenarkan penerima vaksin merakam gambar atau video ketika disuntik vaksin Covid-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata larangan itu bertujuan memastikan kelancaran proses vaksinasi tidak terganggu akibat perbuatan tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata penerima vaksin boleh meminta petugas menunjukkan picagari sebelum dan selepas proses suntikan, lapor Berita Harian.

“Maaf, kerajaan tak dapat memenuhi permintaan orang ramai merakam gambar atau video ketika disuntik di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Perbuatan itu dikhuatiri mengganggu kelancaran proses vaksinasi di PPV. Namun penerima vaksin boleh meminta petugas menunjukkan picagari sebelum dan selepas suntikan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan beberapa pihak supaya orang ramai dibenarkan merakamkan gambar atau video ketika proses suntikan vaksin Covid-19.

Ia susulan ada penerima vaksin mendakwa disuntik dengan picagari kosong baru-baru ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, kementeriannya sudah mengarahkan petugas di PPV menunjukkan picagari kepada penerima sebelum dan selepas suntikan.

Langkah itu katanya, bertujuan memberi keyakinan kepada penerima yang picagari digunakan mengandungi cecair vaksin Covid-19, sekali gus mengelak kejadian disuntik dengan picagari kosong tidak berulang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here