Janji manifesto gagal ditunaikan, janji pula selesaikan Covid-19

0
2

PAKATAN Harapan (PH) mengamalkan politik murahan dengan hanya pandai berjanji kepada rakyat, namun gagal melaksanakan atau menunaikannya ketika memerintah, kata Presiden PAS.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka hanya berjanji melalui manifesto tetapi gagal menunaikannya dan kini berjanji pula untuk menyelesaikan pandemik Covid-19.

Menurutnya, demikianlah amalan politik murahan semata-mata untuk menipu rakyat, hingga yang lemah akalnya dan mudah lupa atau jahil berkenaan segala-galanya.

“Mereka lupa betapa janji Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) yang lalu tenggelam dalam perbalahan siapakah yang patut menjadi Perdana Menteri, bukannya mereka berusaha memenuhi kewajipan bagi menunaikan janji manifesto.

“Setelah kerajaannya hilang, pihak lain pula dipersalahkan,” katanya dalam Minda Presiden PAS di Facebooknya hari ini.

Beliau mengingatkan rakyat supaya berfikir dengan matang dan sejahtera, adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU14 yang sedikit, tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19 yang sedang merebak di seluruh dunia dan sehingga sekarang belum ada mana-mana negara berjaya menanganinya.

“Adakah mereka yang sebegitu rupa masih boleh dipercayai, apabila secara tiba-tiba bertempik dengan berdemonstrasi dan mengangkat slogan gagah perkasa kononnya mampu menghadapi wabak yang melanda seluruh dunia hari ini. Sedangkan mereka baru sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan?

“Berpolitik tidak seharusnya menjadi seperti penjual ubat yang menipu pelanggan, dengan menggunakan cara kotor yang diharamkan,” katanya.

Menurutnya, mungkin politik yang diamalkan itu sudah berpisah daripada sempadan agama dan moral yang luhur, suatu sifat yang tidak boleh diterima oleh masyarakat yang beragama, berakhlak dan berakal sihat.

“Inilah sebenarnya yang dinamakan dengan politik yang kotor.

“Rakyat dihabiskan masa dengan cara yang kotor ini, khususnya disebarkan melalui media tanpa sempadan yang membawa wabak yang merosakkan kefahaman dan mempengaruhi masyarakat sehingga ramai yang diperbodohkan.

“Caranya hanyalah menyebarkan masalah yang belum selesai di seluruh dunia sebagai alasan kegagalan dan menutup banyak kejayaan yang telah dicapai,” katanya.

Menurutnya, kerajaan yang tidak bermoral sebelum ini sudah berjaya dijatuhkan, dengan dibantu oleh mereka yang sedar akan kepincangan kerajaan berkenaan.

“Kemudian, digantikan dengan kerajaan yang bertanggungjawab dengan penuh kesabaran dan menunaikan kewajipan kepada rakyat tanpa sebarang janji manis, kerana perkara yang wajib hendaklah ditunaikan dan tidak semestinya dilakukan hanya setelah berjanji.

“Bagaimanapun, ia tetap wajib ditunaikan, malah berdosa sekiranya tidak ditunaikan. Lebih besar dosanya jika tidak menunaikan janji dalam perkara yang wajib ditunaikan oleh sesebuah kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here