KAPTEN dan penjaring terbanyak Barcelona sepanjang zaman, Lionel Messi dilaporkan telah bersetuju untuk kekal, 10 hari setelah memberitahu yang dia mahu meninggalkan kelab tersebut.
Messi, 33, mengirim faks kepada Barcelona pada Selasa lalu dengan menyatakan dia mahu mengaktifkan klausa dalam kontraknya yang menurutnya membenarkannya berpindah secara percuma.
Pemain bintang itu secara rasmi mengumumkan keputusan membuat ‘U-turn’ lewat petang Jumaat.
Messi memberitahu Goal: “Ketika saya menyampaikan keinginan saya untuk meninggalkan pasukan kepada isteri dan anak-anak, ia adalah drama yang kejam.
“Seluruh keluarga mula menangis, anak-anak saya tidak mahu meninggalkan Barcelona, juga tidak mahu menukar sekolah.
“Tetapi saya melihat lebih jauh dan saya mahu bersaing di peringkat tertinggi, memenangi gelaran, bersaing di Liga Juara-Juara. Anda boleh menang atau kalah, kerana sangat sukar, tetapi anda harus bersaing.
“Sekurang-kurangnya bersaing untuk itu dan janganlah kita tumbang seperti di Roma, Liverpool dan Lisbon. Semua itu mendorong saya untuk memikirkan keputusan yang ingin saya laksanakan,” kata kapten Argentina itu.
Beberapa hari lalu, Messi dilaporkan bersetuju dengan tawaran bernilai 623 juta pound (RM3.46 bilion) iaitu paling besar dalam sejarah sukan mahu pun bola sepak, untuk menyertai Manchester City.
Memetik laporan Agensi, pemain berusia 33 tahun itu dalam usaha untuk keluar dari Barcelona selepas dia menyerahkan permohonan perpindahannya.
Menurut laporan media Inggeris, Messi mempersetujui terma-terma kewangan kontrak lima tahun yang mencecah nilai berkenaan.
Jika perjanjian itu termeterai, bintang kelahiran Argentina itu akan menjadi individu dengan bayaran paling tinggi dalam sejarah sukan.
Ia bersamaan RM78,776 sejam, RM1.89 juta sehari dan RM56.72 juta sebulan. – MalaysiaPost

