LOJI Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 telah mula beroperasi secara berperingkat bermula jam 10.30 malam tadi.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
“Pihak Loji akan melaksanakan aktiviti pencucian dan ‘flushing’ pada proses rawatan terlibat serta memantau kualiti air terawat bagi mengelakkan sebarang impak pada pihak pengguna,” katanya.
Terdahulu, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan malam tadi memaklumkan setakat jam 8.30 malam, ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk masih mengesan pencemaran pada tahap 1 TON.
Siang tadi, Ketua Pegawai Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dilaporkan berkata gangguan bekalan air di sebahagian besar kawasan Lembah Klang dijangka berterusan sehingga empat hari lagi.
Katanya, ia berikutan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hanya boleh kembali beroperasi jika tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.
Sebanyak 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang,Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Ia susulan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang dihenti tugas berikutan pencemaran di sumber air mentah Sungai Selangor. – Malaysiapost

