Dakwa diugut sertai PN, Syed Saddiq dicabar buat laporan polis

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dicabar untuk membuat laporan polis berhubung tuduhan bahawa beliau diugut dengan tindakan mahkamah sekiranya enggan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata tindakan Syed Saddiq membuat laporan polis itu mampu dijadikan perisai kepada mana-mana parti pada masa depan.

“Saya amat simpati terhadap beliau ekoran pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi tadi. Biarlah mahkamah menentukannya. Beliau akan menjalani proses tersebut seperti ahli-ahli politik yang lain.

“Bagaimanapun, adalah amat wajar sebagai pemimpin (parti) MUDA, Syed Saddiq berani melaporkan di mana-mana balai polis apa yang telah didakwanya diugut berkali-kali…oleh siapa?

“Laporan perlu dilakukan supaya boleh disiasat kebenarannya. Ini juga membolehkan keadilan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan. Berani kerana benarlah, Syed Saddiq,” katanya seperti dilaporkan portal PNBBC, hari ini.

Semalam, menerusi video di laman sosial Facebooknya, Presiden Penaja Parti MUDA itu mendakwa kononnya, jika beliau tidak menyertai PN, beliau diugut untuk didakwa sejak setahun lalu.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu dilapor berkata, dakwaan mahkamah itu merupakan kemuncak kepada ugutan yang diterimanya setiap kali muncul isu undian di Parlimen.

Hari ini, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah RM1 juta pada Mac tahun lalu.

Syed Saddiq, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq sebagai Ketua Armada telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada Malaysia melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut.

Ia di mana tertuduh dengan curangnya membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here