SEBANYAK 25 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,556 kilang, 11,369 premis perniagaan, 416 tapak pembinaan dan 145 asrama penempatan pekerja.
“Secara kumulatifnya Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan sebanyak 68,921 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,351 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh terutama membabitkan pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan.
“Penguatkuasaan dipertingkatkan secara menyeluruh di kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak perlanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan,” katanya. – Malaysiapost

