Petugas PPV dinasihatkan elakkan makan secara potluck

0
2

AMALAN makan secara berkumpulan atau potluck patut dielakkan oleh para petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pakar Kesihatan Awam, Prof Madya Dr Malina Osman menasihatkan agar amalan potluck itu dihindarkan kerana risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka adalah tinggi berbanding penerima vaksin yang hadir ke PPV.

“Saya berpendapat dalam kalangan sukarelawan amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diberi perhatian.

“Berdasarkan maklumat di media sosial, sebahagian besar mereka (sukarelawan) tidak memberikan perhatian yang serius.

“Ada antara mereka yang membawa potluck, makan bersama-sama dan kemungkinan akan ada ketidakpatuhan SOP,” katanya dipetik Astro Awani, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Mohd Padzli Mohd Zain, berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan di media sosial berkaitan sekumpulan individu berkumpul makan durian dipercayai di sebuah PPV di Johor Bahru, Ahad lalu.

Katanya, laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) itu diterima pada jam 3.41 petang Ahad lalu.

Pada minggu lepas, seramai 204 petugas PPV di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dijangkiti Covid-19 selepas ujian saringan beramai-ramai dibuat ke atas kesemua petugas di situ.

Terbaharu, tujuh sukarelawan PPV Setia City Convention Centre (SCCC) di Shah Alam dikesan dijangkiti Covid-19.

Mengulas lanjut, Dr Malina menjelaskan, pada masa yang sama mencadangkan agar sukarelawan melakukan ujian saringan secara bersasar untuk mengenal pasti punca jangkitan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here