Lelaki balik ziarah bapa meninggal dunia, parah ditikam jiran

0
2

USAHA seorang lelaki meleraikan pergaduhan antara jiran bertukar tragedi apabila dia ditikam di bahagian perut dalam kejadian di Permas Jaya, Johor Bahru, semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.15 petang itu, mangsa, Ahmad Nadzir Sabtu, 50, cedera pada bahagian perut selepas ditikam suspek yang merupakan jiran bersebelahan dengan rumah adiknya, Farahzila, 42.

Difahamkan, mangsa yang merupakan seorang pemuzik yang tinggal di Kuala Lumpur pulang ke Johor Bahru setelah kematian bapanya, kelmarin.

Menurut Farahzila, pergaduhan antara kedua-dua jiran mereka tercetus apabila suspek tidak berpuas hati dengan jiran yang berbuat bising ketika sedang memasak juadah Aidiladha.

“Suspek memulakan pergaduhan apabila mengacau jiran yang sedang memasak di belakang rumah kerana mendakwa berbuat bising.

“Pada awalnya, abang cuma hendak meleraikan pergaduhan di antara mereka kerana rumah saya terletak di antara rumah mereka. Namun apa yang berlaku abang saya menjadi mangsa ditikam suspek,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Johor Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain mengesahkan kejadian.

Katanya, dalam kejadian itu, suspek seorang lelaki berusia 40-an telah mencederakan mangsa dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau di bahagian perut.

“Polis telah membuat tangkapan ke atas suspek pada hari yang sama pada pukul 2.45 petang di sekitar kawasan kejadian.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya.

Mohd Padzli berkata, mangsa masih ditahan di hospital untuk rawatan dan doktor mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here