PM sertai 300 jemaah tunai solat Aidiladha di Masjid Negara

0
2

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini bersama 300 jemaah.

Ketibaan Perdana Menteri yang berjubah putih jam 8.16 pagi bersama isteri Puan Sri Noorainee Abd Rahman, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.

Muhyiddin dan jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan diimamkan oleh Ehsan.

Sementara itu, Ehsan ketika menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Cabaran dan Pengorbanan’ berkata Allah SWT menganugerahkan pelbagai kenikmatan kepada negara termasuk menyambut Aidiladha pada hari ini walaupun pandemik COVID-19 masih belum reda.

“Tetaplah bersyukur dan memuji Allah SWT kerana semua yang berlaku di atas muka bumi ini hanya Allah yang maha mengetahui.

“Pada tahun ini kita masih menyambut Aidiladha dalam suasana yang mencabar dan kawalan pergerakan yang masih lagi diteruskan berikutan bilangan kes harian yang masih tinggi dan tidak menentu. Jagalah diri dan kesihatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian yang memetik Bernama.

Beliau berkata walau apa pun yang berlaku, Aidiladha tidak boleh kehilangan makna dan inti patinya.

Khutbah itu turut mengingatkan pemimpin supaya menumpukan sepenuh usaha dan tindakan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

“Hentikan percakaran yang sia-sia dan bersimpatilah terhadap rakyat,” katanya.

Ehsan juga menyeru jemaah supaya bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT bagi memohon pertolongan supaya wabak dan musibah yang sedang melanda negara, diangkat.

Sejurus selesai khutbah Aidiladha, Perdana Menteri meninggalkan pekarangan masjid jam 9.05 pagi dengan diiringi Zulkifli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here