
KERAJAAN dijangka mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 termasuk sektor perniagaan selepas sambutan Aidiladha.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan sedang membincangkan secara terperinci mengenai SOP kebebasan pergerakan terbabit.
“Kita akan beri kelonggaran (individu lengkap dua dos), jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci siapa boleh bebas gerak dan sektor perniagaan mana dilonggarkan.
“Insya-Allah, perkara ini akan diumumkan selepas raya (Aidiladha),” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Mindef (Kementerian Pertahanan) Prihatin, di Wisma Pertahanan, hari ini. – Malaysiapost
