Fitri Nizam
UMNO tidak akan pernah berhasrat untuk masuk ke Sarawak, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, itu adalah keputusan muktamad Umno.
“Umno yakin dengan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), sementelahan GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah dibentuk untuk merangkumkan ketiga-tiga parti lain yang dahulunya dalam BN.
“Umno doakan agar GPS akan terus membentuk kerajaan negeri bila PRN (Pilihan Raya Negeri) diadakan kelak,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan UMNO masuk ke Sarawak.
GPS yang kini menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan adalah bekas parti komponen BN yang terdiri daripada empat parti politik tempatan iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – MalaysiaPost

