ANGGOTA keselamatan negara diarah bersedia menghadapi pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk pulang ke kampung menjelang Aidiladha, Selasa ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia berikutan sebanyak 4,839 kenderaan diarah berpatah balik Jumaat lalu iaitu jumlah paling tinggi sejak pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam
“Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain.
“Rakyat perlu menjadikan peningkatan kes dan kluster akibat pergerakan rentas negeri pada Aidilfitri lalu sebagai iktibar untuk tidak memandang enteng pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan hari ini.-Malaysiapost

