KERAJAAN memberi jaminan ahli parlimen boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan pada sidang khas Dewan Rakyat berlangsung lima hari bermula 26 Julai ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada semua ahli parlimen menerusi notis pemberitahuan sidang khas bertarikh 15 Julai.
“Di dalam notis itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat juga benarkan ahli-ahli Parlimen meminta penjelasan dan memberikan pandangan semasa penerangan (daripada menteri) nanti.
“Jadi tidak timbul penerangan sebelah pihak atau hanya dengar taklimat sahaja, itu tidak benar sama sekali,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Takiyuddin berkata, tiga urusan mesyuarat ditetapkan pada persidangan khas Dewan Rakyat iaitu Proklamasi Darurat bertarikh 11 Jan 2021 serta Ordinan-Ordinan Darurat yang akan dibentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Agenda kedua (ialah) membentangkan Proklamasi Darurat yang dibuat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
“Agenda ketiga ialah penerangan oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri berkaitan Pelan Pemulihan Negara, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej bantuan ekonomi,” katanya.
Jelasnya, ahli-ahli Parlimen dengan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka selepas perbahasan selesai.
“Macam mana kaedah, seperti berapa lama tempoh, terpulang kepada Speaker (untuk) tentukan,” katanya.
Takiyuddin berkata, secara dasarnya persidangan khas Dewan Rakyat diadakan secara fizikal dan boleh dihadiri semua wakil rakyat namun bergantung prosedur operasi standard (SOP) diputuskan Kementerian Kesihatan. – Malaysiapost

